Wednesday, February 25, 2009

BAHAS ~ Motivasi Bagi Para Pelajar

Mauduk: "Tuisyen dan Program-Program lain penting untuk berjaya"

Pencadang

1) Ini akan membantu para pelajar yang tidak mempunyai suasana yang aman-tenteram di rumah bagi mengulang kaji. Terdapat banyak faktor yang boleh mengakibatkan suasana yang tidak wajar untuk megulang kaji, seperti keluarga yang berpecah belah. Justeru, tuisyen dan program-program tersebut memang baik lantaran dapat membantu para pelajar dengan memberikan suasana yang sesuai untuk belajar.

2) Tuisyen dan program-program tersebut juga memperuntukkan masa bagi mengulang kaji. Inin akan membuat para pelajar sedar akan pelajaran mereka lantaran terdapat masa yang khusus untuk belajar. Ini akan membuat mereka belajar secara konsisten dan mempertingkatkan diri dalam bidang pelajaran. Contohnya, jika seseorang sibuk dengan aktiviti-aktiviti kokurikular ataupun kerja rumahnya, dia tidak akan memperuntukkan masa untuk mengulang kaji. Namun, dengan tuisyen atau program khas untuk mengulang kaji, dia akan mengulang kaji. Justeru, tuisyen dan program-program tersebut sungguh baik.

3) Para pelajar akan lebih berkeyakinan diri kerana mendapat lebih latihan berbanding dengan rakan-rakan kelasnya. Ini akan mendedahkan mereka pada lebih soalan dan topik-topik yang tidak diajar dalam kelas. Mereka juga dapat belajar tentang sesebuah topik sebelum ia diajar di dalam kelas. Ini akan membuat mereka lebih yakin. Contohnya, seseorang pelajar yang sudah belajar tentang sesebuah topik sebelum ia diajar dalam kelas, akan mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih mendalam tentang topik itu semasa ia diajar kepada rakan-rakannya. Ini merupakan salah satu manfaat tuisyen dan program-program tersebut.

4) Akhirnya, seseorang pelajar akan mendapat perhatian yang khusus daripada guru tuisyen ataupun para pelatih program-program tersebut jika ia diadakan secara perseorangan. Justeru, dia dapat bertanyakan soalan-soalan dan kemusykilannya jika dia malu mengemukakan segala soalannya di dalam kelas. Ini amat memanfaatkan lantaran para pelajar akan lebih memahami segala perkara yang diajar dalam kelas. Dia juga akan mengenal pasti segala kesalahannya dan ia dapat dibetulkan. Ini menunjukkan bahawa tuisyen dapat memberikan para pelajar perhatian yang diperlukan.

Pada keseluruhannya, tuisyen dan program-program lain akan membantu para pelajar meraih keputusan yang memberangsangkan dan cemerlang. Terdapat beberapa manfaat yang dapat diperoleh lantaran tuisyen dan program-program lain. Dengan sikap yang positif and iltizam, seseorang pelajar pasti akan berjaya dengan tuisyen dan program-program lain.