Wednesday, June 3, 2009

Ulasan Akhbar 1

POLIS SOAL LEBIH LANJUT LIMA KAKITANGAN THE ROYALS dari http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,142592,00.html?

Artikel ini memperkatakan tentang penyiasatan pihak polis yang berkaitan dengan pencemaran kek dan pai sebuah syarikat yang bernama "The Royals, Premium Cakes and Pies". Ia dipercayai makanan tersebut tercemar dengan klorin meskipun tiada sesiapa yang telah menyuarakan aduan tentang makanan syarikat tersebut. Lima kakitangan syarikat ini akan disoal siasat dan kilang syarikat ini masih tertutup lantaran penyiasatan sedang dijalankan.

Pada pendapat saya, perkara ini tidak boleh diremehkan ataupun dipandang rendah. Isu-isu seperti ini mampu mencemari nama baik Singapura dan melunturkan keyakinan ramai orang terhadap makanan yang berasal dari Singapura. Mentelah, negara ini diperlakukan sebagai 'syurga makanan' oleh rakyat Singapura dan para pelancong dari negara lain. Bayangkan kalau salah seorang pengunjung jatuh sakit kerana makanan yang berasal dari 'syurga makanan'. Langkah-langkah harus diambil untuk mengekalkan dan memperkuat imej negara ini. Keserta-mertaan pihak polis dalam menangani isu ini merupakan usaha yang baik untuk melestarikan imej baik kita ini. Mereka terkial-kial cuba mengesan sumber pencemar kek dan pai tersebut. Walau bagaimanapun, kita juga harus berikhtiar serta bekerjasama untuk meningkatkan mutu khidmat di negara ini dan memperlihatkan kebaikan 'syurga makanan' ini.

Selain daripada itu, kejadian ini juga dapat menjejaskan iktisad Singapura. Kes pencemaran makanan ini juga menyebabkan penutupan kilang syarikat ini. Oleh itu, tiada sebarang pulangan yang dapat diraih selama penyiasatan ini dijalankan. Tambahan pula, jikalau para pelabur dari negara lain mengetahui tentang kes ini, keyakinan mereka untuk membuat pelaburan di negara ini juga akan sirna.

Ketika membaca artikel ini, saya berasa amat sedih kerana, baru-baru ini, terdapat beberapa kes pencemaran makanan di Singapura. Malah, pencemaran rojak India baru-baru ini telah meragut beberapa nyawa dan menyebabkan keguguran juga. Artikel ini telah mengingatkan saya tentang isu pencemaran tersebut.
Saya juga berasa kaget lantaran pengalaman kita dengan kes-kes lain, yang serupa dengan kes ini, tidak menyerikkan kita untuk mengulangi kesalahan yang sama. Namun, kita tidak boleh berputus asa dan harus berusaha untuk mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi.

Saya percaya bahawa terdapat kemungkinan tinggi pencemaran makanan ini berlaku kerana syarikat tersebut tidak menjangkau tahap kebersihan yang tinggi ataupun tidak mengutamakan kebersihan. Ini boleh berlaku kerana pengutamaan pulangan dan untung yang tinggi. Walau bagaimanapun, pengarah The Royals telah berkata bahawa ini merupakan perbuatan 'sabotaj'. Kalau ini benar, beberapa langkah harus diambil untuk mengelakkan perbuatan terkutuk ini daripada berulang lagi.

Kakitangan syarikat ini boleh mengikuti sebuah kursus yang dapat mengajar mereka cara-cara untuk mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi. Ini akan membolehkan syarikat ini memenuhi jangkaan mutu khidmat yang tinggi. Selain daripada itu, mereka yang berusaha untuk melaksanakan tugas mereka dengan sungguh boleh diiktiraf dan diberikan sebuah anugerah. Ini menunjukkan bahawa mereka berkecimpung dalam usaha meningkatkan kualiti khidmat Singapura. Tambahan pula, beberapa pembersih boleh digajikan untuk membersihkan kilang syarikat ini setiap hari.

Natijahnya, saya berharap bahawa syarikat-syarikat di Singapura akan bekerjasama untuk memajukan ekonomi negara ini. Dengan kemajuan ini, kita dapat mengelak daripada mengharungi masalah-masalah lain. Kita masih berkedudukan baik untuk memperbaik mutu khidmat negara ini dan tidak harus berputus asa. Pada zaman yang padat dengan masalah-masalah global yang telah mencengkam serata jagat, kita membutuhkan kemajuan iktisad bagi meningkatkan gaya hidup setiap rakyat negara ini. Saya juga berharap bahawa pesalah dapat diberkas selepas penyiasatan ini ditamatkan. Ini lantaran kelakuan sumbangnya dapat merosakkan nama baik bangsa Singapura. Bak kata pepatah, "Rosak badan kerana penyakit, rosak bangsa kerana laku".

KOSA KATA:
disoal siasat= disoal dalam usaha menyiasat sesuatu
mencegah=menghalang
pendekatan=kaedah yang diambil bagi melaksanakan dan memulakan tugas
cawangan=bahagian (daripada pertubuhan etc.)
mengulas=melanjutkan

No comments: