Tuesday, June 23, 2009

Ulasan Artikel Majalah 4

Pancaragam SMK Seri Kembangan Mengharumkan Negara
Artikel ini memperkatakan tentang sebuah sekolah di Malaysia, iaitu SMK Seri Kembangan, yang telah berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum. Beberapa pelajar telah meraih keputusan yang cemerlang dan terdapat beberapa pasukan sukan yang telah memperoleh kejayaan dalam pertandingan yang disertai mereka. Sekolah ini juga sedar akan betapa mustahak bimbingan yang diberikan kepada para pelajar kerana merekalah yang akan menjadi pemimpin-pemimpin dunia ini pada masa depan.
Pada pendapat saya, sekolah tersebut amat baik kerana telah menyedarkan para pelajar tentang potensi mereka dalam beberapa bidang. Beberapa peluang diberikan kepada mereka dan ini membuat mereka berkesempatan untuk mencari bidang kegemaran mereka dan untuk menjadi sedar akan kekuatan mereka. Peluang-peluang seperti ini memainkan peranan yang amat mustahak dalam kehidupan para pelajar kerana ia akan membantu mereka menceburi bidang kerjaya yang paling sesuai bagi mereka. Ini membolehkan mereka bekerja dalam sesuatu bidang kerjaya yang berkenan pada diri mereka. Melalui proses ini, dunia ini akan mendapat para pemimpin dan pekerja yang terampil dalam bidang kerjaya mereka.
Ketika membaca artikel ini, saya berasa gembira kerana sekolah ini sedar akan kepentingan pembangunan diri para pelajar agar masa depan jagat ini tidak terabai. Dengan menguatkan mereka dalam beberapa bidang, termasuk bidang korikulum, mereka akan mendapat lebih pilihan bagi bidang kerjaya yang boleh diceburi mereka. Pendedahan ini juga membuat para pelajar lebih aktif secara mental dan fizikal. Sekolah ini juga bekerjasama dengan PIBG yang menganjurkan sebuah kem yang dipanggil "Program Sinar Harapan". Kem ini bertujuan untuk membuat para pelajar lebih cekap dalam beberapa bidang. Ini juga sebuah idea yang baik bagi para pelajar.
Saya berpendapat bahawa penyebab kejayaan sekolah ini ialah iltizam mereka. Pihak sekolah beriltizam bagi mengembangkan bakat para pelajar dan membuat mereka merealisasikan kekuatan mereka. Kesedaran bahawa setiap orang mempunyai kekuatan masing-masing amat mustahak dalam dunia ini. Bak kata pepatah, "Kuat ketam kerana sepit, kuat burung kerana sayap". Seseorang harus sedar akan kekuatannya agar dapat memberikan sumbangan yang sesuai kepada pembangunan jagat ini.
Saya ingin mengesyorkan agar lebih sekolah mengamalkan prinsip ini dan menyedarkan para pelajar akan kekuatan mereka. Saya juga ingin menyarankan agar pihak sekolah lain dapat menggalakkan para pelajar mereka mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan PIBG. Lebih dorongan juga harus diberikan oleh pihak sekolah kepada para pelajar mereka agar mereka lebih berkeyakinan diri.
Natijahnya, saya menghajati lebih ramai orang dapat menjangkau cita-cita mereka dan meraih kejayaan dalam segala bidang yang diceburi mereka. Saya juga berharap bahawa lebih ramai orang, terutama para pelajar, sedar akan kekuatan mereka masing-masing dan peranan yang wajar dimainkan mereka dalam jagat ini.


KOSA KATA

menginjak=memijak
kegemilangan=kecemerlangan
menempa=membuat
pelosok=penjuru

No comments: