Tuesday, June 23, 2009

Ulasan Artikel Majalah

SENTIASA OPTIMIS

Artikel ini memperkatakan tentang salah seorang remaja yang bernama Syazwan Mohd Rosman. Dia telah meraih keputusan yang terbaik dalam peperiksaan bahasa Perancisnya. Dia sungguh berminat dalam bahasa Perancis dan bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah Perancis agar dapat berbakti kepada rakyat tanah airnya. Dia juga bersemangat dalam bidang muzik, seni vokal dan lakonan.

Pada pendapat saya, Syazwan telah berjaya kerana dia sentiasa berfikiran positif dan mengisikan masa luangnya dengan pelbagai aktiviti yang akan mendatangkan beberapa faedah kepada dirinya. Dia juga memperuntukkan masanya dengan saksama agar kesemua kegiatannya diberikan perhatian yang memadai. Dia juga berujar bahawa minat dan bakat merupakan bahan-bahan penting dalam kejayaan. Saya akur dengan pendapatnya kerana seseorang haruslah bersemangat dan beriltizam untuk memperoleh kejayaan yang memuaskan.

Setelah membaca artikel ini, ternyata bahawa saya telah berasa kagum dengan gaya hidup Syazwan yang padat dengan kegiatan sekolah, kokurikulum dan kemasyarakatannya. Sementelah, dia seorang yang optimistik dan tidak suka membuang masa. Dia menyedari bahawa kejayaan akan mengiringi kerja keras dan dia tidak berputus asa. Dia telah berjaya dalam segala kegiatannya. Dia juga tidak melupakan tanah airnya yang telah memberikannya segalanya Dia ingin berbakti kepada negaranya dan mengharumkan nama Malaysia.

Saya berpendapat bahawa penyebab kejayaannya ialah tanggung jawabnya. Dia bertanggungjawab kerana telah menyediakan sebuah jadual untuk meluangkan masanya dengan perkara-perkara yang bermakna. Dia bertanggungjawab kerana telah berusaha dengan gigih dalam segalanya dan tidak membuang masanya. Dia juga seorang yang baik hati kerana berkongsi ilmunya dengan rakan-rakannya. Dia seorang pelajar dan kawan yang harus dicontohi ramai.

Saya ingin mengesyorkan agar gaya hidup seperti yang diamalkan Syazwan diperkenalkan kepada setiap pelajar, terutama orang remaja. Ini lantaran ramai remaja asyik meluangkan masa mereka dengan perkara-perkara yang tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada dirinya. Tambahan pula, terdapat ramai yang melakukan perkara yang memenuhkan kehidupan mereka dengan penderitaan dan kekesalan ataupun yang mengaibkan nama keluarga. Saya juga ingin menyarankan agar guru-guru memberikan para pelajar mereka dorongan dan perangsang yang berpatutan agar mereka tidak rasa seolah-olah mereka diperkecilkan dalam dunia ini.

Natijahnya, saya menghajati kejayaan bagi semua yang telah berikhtiar dengan keras untuk menjangkau kejayaan yang memuaskan. Saya juga berharap bahawa lebih orang berfikiran positif ketika menempuhi sebarang masalah ataupun ranjau hidup kerana inilah akan mendatangkan perasaan gembira dan lega. Bak kata pepatah, “Jika tidak dipucuk ruyung, di mana boleh mendapat sagunya.”


KOSA KATA

Kepetahan= Kefasihan

No comments: